Assalamualaikum dan salam sejahtera…
Bismillahirrahmanirrahim…
Menyingkap lembaran baru tatkala kaki melangkah keluar dari Kolej Seroja. Pengakhiran sebuah hikayat yang merupakan suatu permulaan kisah baru. Sepuluh bulan yang ku kira sekejap. Berlalu sepantas deruan angin yang membuai hari – hariku dengan pelbagai rencah hidup. Pahit. Manis. Segalanya telah dirasa dengan kelima – lima pancainderaku ditambah hati yang cekal menerima segalanya. Patuh dengan kehendak tuannya yang terus – terusan mendesak. Risau masih ada yang tertinggal untuk digarap menjadi memori. Memori? Iya, memori walaupun ia sepahit hempedu mahupun semanis madu. Biarlah ia kekal di situ. Selamanya.
Mata memerhati helaian daunan hijau yang beralun indah. Subhanallah, indah sekali ku kira ciptaan Tuhan Yang Maha Esa. Alangkah indahnya jika hatiku setenang alunan daunan itu. Bergerak mengikut angin tanpa perlu memikirkan benar atau nistanya. Langit yang membiru tanpa sedikit pun cacat celanya. Menurut sahaja sunnatullah yang telah lama ditetapkan. Aku? Aku manusia hina yang keliru. Keliru membezakan kebenaran dan kebatilan. Sungguh aku sakit. Sakit dengan akalku sendiri. Sakit dengan agendamu yang samar – samar sahaja dapat ku fahami. Hancur luluh hatiku. Bukan kerana silapmu namun kerana aku dibiarkan terkapai – kapai di lautan asing yang luas. Benar – benar luas.
Aku tahu, lebih mudah untuk aku mengikut, untuk aku menurut tanpa perlu berkata apa tetapi jika begitu sikapku, untuk apa Tuhan kurniakan akal? Apa gunanya Tuhan ciptakan lidah? Aku bukan kerbau dicucuk hidung yang hanya akur dengan segala kehendak tuannya. Maaf. Aku bukan manusia sebegitu. Aku pemikir. Pemikir yang akan bertanya, bertanya, dan terus bertanya. Ampun ku pinta jika mengganggu namun berilah sedikit ruang kepada kami sang pemikir untuk merungkai segalanya yang bersesak di kepala yang ku kira masih mentah. Hidupku hanya 19 tahun. Pengalamanku hanya sebagai orang bawahan. Siapalah aku untuk mempersoalkan? Benar. Namun harus kau sedar juga. Aku dikurniakan akal yang mahu bergerak. Meronta – ronta di balik tubuh kerdil yang dhaif ini.
Rimas.
‘Kami sudah berbincang panjang mengenai perkara ini.’ Itu jawapanmu. ‘Kamu tidak akan faham situasi di sini.’ Itu balasanmu. ‘Kami tahu apa yang kami lakukan.’ Itu katamu. Jika begitu mengapa kami jadi begini? Jika begitu mengapa kami dipecahkan? Jika begitu mengapa keadaan kami semakin teruk? Jika begitu mengapa kesakitan yang kami hadapi makin menggila? Jawab! Aku mohon, jawab! Jika benar itu mehnah dan tribulasi sewaktu berjuang, mengapa kami rasa seperti tiada tempat bergantung? Iya, Allah sentiasa ada dan aku sedar kenyataan itu. Adakah ini jawapan mudahmu?
Kliche.
Buka mindamu. Pendapat untuk didengar dan dipertimbangkan sebaik – baiknya. Bukan untuk ditolak hanya kerana diajukan budak hingusan setahun jagung seperti kami. Kami inginkan jawapan. Penjelasan. Biar umur kami hanya belasan tetapi otak kami mampu mencerna segala penjelasannya. Sultan Muhammad Al-Fateh mampu menakluk Konstantinopel pada usia yang muda dengan ideanya yang dikira gila. Gila. Gila aku katakan untuk menolak kapal – kapal besar dengan kudrat manusia tetapi lihatlah hasilnya. Bukan. Bukan aku katakan kami benar belaka namun beri kami ruang. Ruang untuk bersuara. Andai kefahaman kami salah, kami mohon dibetulkan. Andai kefahaman kami benar, bincangkan sebaik mungkin agar tidak dipersiakan. Itu harapan kecil kami.
Aku kira, lantang benar ku bersuara kali ini. Jutaan maaf disusun jari sepuluh ku pohon atas kekasaran tutur kataku. Namun inilah suaraku. Suara seorang insan yang hanya mampu menggerakkan akal dan jari – jemarinya. Maaf sekali lagi.
Sekian, terima kasih
Wallahua’alam